Jumaat, 10 Jun 2011

APLIKASI TEORI DALAM PENULISAN KREATIF: SATU TINJAUAN KEWAJARAN

KESUSASTERAAN secara umum bermaksudkan sesuatu yang indah dan bermakna baik dari segi isi dan tubuhnya. Berdasarkan etimologi sastera dan kesusasateraan, penulis sebenarnya menggalas tanggungjawab besar dalam menghasilkan karya-karya yang bermutu baik dalam bentuk puisi mahupun prosa. Peri penting tanggungjawab seorang penulis dalam memimpin pemikiran dan akal budi masyarakat lewat karya yang dihasilkan perlu tampil secara baik agar mampu diterima baik oleh khalayak pembaca. Dalam hal ini, kesusasteraan yang menitikberatkan unsur estetika perlu dicitrakan oleh penulis bukan sahaja dari aspek pengolahan gaya bahasanya malahan menuntut nilai estetika dari segi persoalan dan pemikiran yang timbul. Pengarang besar, SN Shahnon Ahmad menegaskan peri pentingnya menimbulkan nilai estetika pemikiran, estetika bahasa dan estetika cerita yang menjadi landasan dalam membawa gagasan pemikiran yang cuba disampaikan pengarang.

Dunia kesusasteraan menuntut para penulis untuk mengeksploitasi ruang kreativiti yang ada pada diri dan alam sekitarnya bagi menghasilkan sesebuah karya yang bermutu dan mampu memandu daya fikir khalayak masyarakat agar lebih terarah. Wawasan dan visi penulis perlu jelas iaitu untuk membijaksanakan pembaca dengan kebenaran dan nilai keadilan dalam hidup. Walau bagaimanapun, tidak sedikit penulis baharu yang sering tersasar dalam merealisasikan tanggungjawab murni seorang penulis ini apabila membiarkan diri terikat dengan variasi konsep dan kepelbagaian teori tertentu sewaktu melewati proses kreatif.

Kerja seorang penulis adalah menulis. Konsep ini lebih disenangi oleh kebanyakan penulis baik penulis baharu mahupun penulis mapan. Dalam banyak hal, penulis lebih berasa selesa dalam membebaskan kreativitinya daripada dikongkong oleh sebarang ugeran sewaktu berkarya. Mengongkong diri dengan perkara-perkara kritikal tersebut secara tidak sedar sebenarnya memberi impak pada kesan rasa dan nilai estetika karya yang akan dinikmati oleh pembaca. Dalam hal ini, penulis yang mengikat kerangka kreativitinya dengan bentuk-bentuk teori tertentu akan menjadikan mereka obses untuk memastikan perihal tema, watak dan perwatakan, olahan gaya bahasa, latar dan pelbagai aspek yang menjadi nadi pergerakan sebuah naratif menepati pati teori yang dipegang. Hal ini tidak akan disedari penulis ketika menjalani proses kreatif. Melihat pada penghasilan karya ‘terikat’ sebegini, kesan rasa yang negatif akan menganggu sistem minda pembaca semasa menghadami karya tersebut. Perkara ini terjadi lantaran rasa terpaksa yang akan menghambat suasana bosan khalayak untuk lebih meneliti sari pati karya dalam bentuk yang bukan superfisial.

Penulis umumnya akan mencari sesebuah idea yang ingin ditulis melalui citraan peristiwa, pengalaman yang boleh muncul dari pengalaman peribadi mahupun pengalaman individu lain dan isu-isu kemanusiaan yang berlegar dalam ruang dunia manusiawi dan kemanusiaan. Proses pencarian idea yang ingin digarap ini akan muncul terlebih dahulu dan diperam dalam jangka waktu tertentu sebelum diterjemahkan dalam himpunan aksara. Penulis akan menggunakan pancaindera yang sedia ada untuk mematangkan idea yang timbul dengan bermatlamat untuk memberi ruang cerita luar biasa dengan gagasan pemikiran yang akan memimpin pembaca untuk lebih berfikir tentang diri, alam, dunia, manusia dan tuhan. Hal ini tentunya perlu lahir secara ikhlas dari hati seorang penulis yang menjadikan tulisan sebagai medium menyampaikan hasrat dan visi murni pengamal sastera. Melihat pada lumrah proses kreativiti ini, penulis yang terlalu ghairah untuk mencampuradukkan kerjaya penulis dengan pengkritik akan menjadikan kerja pertukangan seorang penulis termanifestasi sebagai kaku dan kurang nilai seninya lagi. Secara langsung, hal ini akan menjejaskan nilai karya tersebut sebagai sebuah karya sastera yang baik di samping menggugat tugas memanusiakan manusia yang terkandung di dalamnya.

Walau bagaimanapun, penerapan teori ini berbeza dengan pemanfaatan pendekatan tertentu yang boleh menambah daya resepsi pembaca menaakul naratif yang ingin disampaikan pengarang. Misalnya, seseorang penulis boleh memasukkan unsur-unsur wacana yang akan memberi satu ilmu tambahan dalam gubahan cerita dan peristiwa yang dihidangkan kepada pembaca. Pendekatan memasukkan wacana dalam sesebuah karya akan mencambahkan pengalaman dan ilmu pembaca. Walau bagaimanapun, penulis tetap perlu memandu gaya dalam proses kreatif tersebut agar pendekatan memasukkan unsur wacana ini tidak menganggu kepentingan aluran estetik dalam sesebuah karya sastera. Hal ini bagi mengelakkan daripada karya sastera itu dikategorikan sebagai karya ilmiah. Sebagai contoh, Faisal Tehrani merupakan seorang penulis prolifik yang begitu tekal dalam membijaksanakan pembacanya dengan memasukkan unsur-unsur wacana dan ilmu sebagai sari pati karya beliau. Hal ini menunjukkan keprihatian seorang penulis untuk menjadikan bahan bacaan yang dihasilkan bukan sekadar sebuah bahan baca biasa yang membawa masyarakat pembaca ke ruang dimensi imaginasi tanpa hala tuju. Oleh hal yang demikian, seorang penulis yang berwawasan dan mempunyai visi dalam penulisannya tidak seharusnya membiarkan karyanya terumbang-ambing tanpa nilai intelektual yang boleh memberi manfaat kepada pembaca.

Pengamal sastera terutama penulis baharu perlu bijak dalam memberi titik perbezaan yang jelas dalam menentukan bentuk pengaplikasian teori yang boleh menyekat daya kreativiti penulis dengan pendekatan tertentu. Hal ini kerana, pendekatan tertentu dan bersesuaian boleh menjadi kekuatan sesebuah karya tanpa menolak unsur estetikanya. Memanglah bukan satu kesalahan untuk seseorang penulis menulis dengan menjadikan sesebuah teori sebagai sandaran. Namun tidak banyak penulis yang menggunakan kaedah tersebut dalam berkarya. Langkah berani tersebut perlu diambil dengan penguasaan yang tinggi terhadap teori yang dipegang. Sementelahan pula, penulis berkenaan juga perlu mempunyai kesedaran tinggi terhadap unsur estetika karya yang tidak sewajarnya ditelan oleh teori. Menulis bersandarkan teori tertentu akan menjadikan sesebuah karya itu bertaraf tinggi dan mampu diterjemah melalui proses enkod dan dekod pembaca. Perkara ini akan berlaku sekiranya penulis benar-benar arif dengan teori serta mempunyai kesedaran mendalam bagi melestarikan nilai estetika karya sastera.

Sasterawan Negara, Dato’ Noordin Hasaan merupakan contoh penulis yang berjaya dalam lapangan kesusasteraan walaupun berpegang teguh pada konsep teater fitrah dalam kebanyakan karya beliau. Kejayaan beliau sebagai dramatis merupakan hasil kekuatan konsep teater fitrah yang diperkenalkan lewat karya-karya yang ditulis seperti 1400, Intan Yang Tercanai dan Mana Setangginya. Karya-karya tersebut merupakan hasil tulisan beliau dengan mengaplikasikan konsep teater fitrah secara sedar. Karya-karya yang diketengahkan lewat konsep yang dihasilkan beliau mampu diterima baik oleh pengamat sastera. Hal ini menunjukkan seseorang penulis yang ingin menulis bersandarkan sesebuah teori mahupun konsep perlu mempunyai daya pengetahuan dan ketekalan sewaktu berkreatif. Perkara ini bermaksud, penulis mampu menguasai atau mewujudkan sesebuah teori dan konsep untuk dijadikan sebagai kayu pengukur kepada hasil penulisannya secara konsisten. Pewujudan konsep tertentu dan konsistensi dalam memasukkan konsep tersebut ke ruang naratif seperti yang dilakukan Noordin Hassan akan menjadikan sesebuah karya itu bermutu tinggi dan mampu diterima masyarakat. Secara mudah, penulis yang ingin menulis dengan menerapkan teori tertentu sewaktu berkarya perlu mempunyai satu teori khusus dan tekal menulis bersandarkan pada kerangka teori yang dicipta seperti yang dilakukan oleh Noordin Hassan, Shafie Abu Bakar dan Muhammad Hj Salleh. Bagi penulis baharu yang tidak mempunyai pegangan dan pemahaman yang jitu terhadap teori-teori tertentu, perlukah penulis sebegini mengikat proses pengkaryaan dengan teori yang kurang diketahui secara total dan pasti?

Kreativiti seorang penulis akan menjadi lebih bermutu apabila penulis dengan rela hati memberi kepercayaan yang tinggi kepada fikiran rasional dan sentuhan perasaan. Hal ini bersangkutan dengan nilai sensitiviti seorang penulis yang penuh dengan rona-rona estetika untuk diterjemahkan ke dalam karya. Penulis yang memberi kepercayaan kepada kemampuan intelektualnya dalam menulis akan mencambahkan idea yang unik dan tulisan yang mesra dengan khalayak pembaca. Sasterawan Negara A. Samad Said umpamanya merupakan seorang tokoh penulis yang menunjukkan variasi dalam bernaratif. Kepelbagaian karya beliau yang bermula dengan kejayaan Salina, Sungai Mengalir Lesu, Daerah Zeni dan Hujan Pagi menjadi bukti bahawa kepercayaan yang tinggi terhadap daya imaginasi, estetika dan pengalaman membolehkan beliau menghasilkan pelbagai genre karya bermutu. Misalnya, Salina merupakan karya beliau yang mengangkat kisah kemanusiaan masyarakat Kampung Kambing yang terpaksa berhadapan dengan kepayahan hidup era pasca perang dunia kedua. Kepayahan dan kesulitan hidup diwakilkan pengarang melalui watak Salina, seorang pelacur yang terpaksa menjalani kehidupan payah meskipun pernah dibumbui oleh kesenangan dan kasih sayang keluarga. Sementelahan itu, Salina turut memaparkan citra suara subaltern dalam menuntut warna hidup yang lebih baik pada masa itu.

Lain pula halnya dengan Hujan Pagi yang berkisar pada watak utamanya iaitu Lukman yang menghadapi prahara kejiwaan lantaran perjuangan menjulang kebenaran yang terhalang selaku wartawan. Manakala, Sungai Mengalir Lesu memaparkan gelodak hidup masyarakat Melayu yang berhadapan dengan pendudukan Jepun di Tanah Melayu. Karya-karya beliau yang menampilkan kepelbagaian tema ini sebenarnya menjadi bukti kejayaan seorang penulis yang tekun melaksanakan tugasnya dengan sepenuh hati tanpa perlu memikirkan teori yang ingin diterapkan.

Sungguhpun begitu, gagasan dan inti karya beliau masih dapat dicari gali oleh para pengkritik dan pengamat sastera yang profesional melalui siratan teori tertentu yang lahir secara tanpa sedar penulis. Melalui pengamatan, paparan watak Salina dan Siti Khatijah dalam novel Salina membawa pelbagai persoalan yang boleh dibongkar melalui pengaplikasian teori feminisme, sama ada yang dipelopori oleh Chery Register mahupun oleh Elaine Showalter. Sementara itu, Hujan Pagi merupakan sebuah karya yang mengangkat permasalahan psikologi manusia. Hal ini terungkap melalui watak Lukman yang berhalusinasi bagi menjayakan matlamat yang gagal dilaksanakan di alam realiti. Persoalan psikologi manusia dalam Hujan Pagi boleh diselongkar oleh para pengkritik sastera melalui pengaplikasian Teori Psikoanalisis Lacan mahupun Teori Psikoanalisis Klasik oleh Sigmund Freud. Sementara itu, Sungai Mengalir Lesu merupakan imejan unsur kemanusiaan masyarakat Melayu yang tertindas di tanah air sendiri pada zaman pendudukan Jepun. Persoalan ini dapat diteliti melalui penerapan teori Studi Budaya yang digunakan pengkritik sastera bersandarkan anatomi naratif Sungai Mengalir Lesu itu sendiri. Kepelbagaian genre novel yang dihasilkan oleh A. Samad Said memperlihatkan keberhasilan beliau selaku seorang pengarang yang memberi kebebasan dalam ruang kreativitinya tanpa mengekang idea dan jaluran naratif dengan teori-teori tertentu. Hal ini memperlihatkan satu pemahaman yang tinggi oleh A. Samad Said terhadap tanggungjawab beliau sebagai penulis yang memerlukan daya estetika yang tinggi bagi menjalankan tugas sebagai perakam masa dan peramal masa depan.

Walau bagaimanapun, hal ini tidaklah pula menidakkan kebolehan dan keupayaan sesebuah teori dalam menghasilkan sesebuah karya yang baik. Perkara ini memerlukan keseimbangan yang jelas iaitu antara nilai estetika dan pendekatan mahupun teori yang digunakan. Sekiranya penulis terutamanya penulis baharu ingin mengaplikasikan penerapan teori sewaktu berkarya, penulis wajar memberi keseimbangan yang adil terhadap kedua-dua perkara tersebut. Hal ini penting agar karya yang dihasilkan mampu berdiri sebagai sebuah karya yang berupaya menarik minat dan fikiran khalayak pembaca untuk mengamati karya dengan lebih mendalam.

Dalam hal ini, penyair misalnya boleh mengaplikasikan Teori Stilistik yang berkait rapat dengan gaya untuk menghasilkan sesebuah puisi yang berkesan. Sebagai contoh, penggunaan hybrid memperlihatkan dua perkataan yang dicantumkan berfungsi untuk menambahkan kekayaan bahasa. Sesuatu perkataan hybrid itu adalah melambangkan atau menggambarkan keadaan mahupun suasana lain yang menjadi mesej sesebuah karya sastera. Manakala, penggunaan bahasa figuratif gaya kiasan dalam sesebuah tulisan baik berupa puisi mahupun bukan puisi mampu menonjolkan nilai-nilai estetik, retorik dan nilai-nilai konotatif terhadap karya yang mampu memberi kesan kepada daya resepsi dan pemikiran khalayak. Menurut Hashim Ismail, penguasaan bahasa figuratif yang baik boleh menjadikan sesebuah karya itu kaya dengan makna. Penyair boleh mengambil kesempatan daripada konsep licentia poetica untuk menggunakan manipulasi bahasa sebijak yang mungkin bagi mengungkapkan makna yang sebanyak mungkin. Dari sini, lahirlah hasil penciptaan karya kreatif dengan nilai-nilai tanggapan dan nilai-nilai perasaan yang menimbulkan kesan berbeza bergantung pada proses pembacaan dan penghayatan seseorang.

Melalui pemahaman terhadap Teori Stilistik, penulis mahupun penyair mampu meluaskan ruang idea dengan penggunaan bahasa figuratif yang membolehkan penyair menjangkau tahap kesan manipulasi lambang dan manipulasi kiasan. Bahasa kiasan dan bahasa perlambangan merupakan dua unsur yang menghidupkan unsur figuratif penyair. Hakikatnya, bahasa figuratif ini akan menjadikan bahasa puisi menjadi lebih segar, bertenaga, indah dan berkesan dari segi pengalaman, perasaan serta pemikiran. Melalui pemahaman terhadap Teori Stilistik, para penyair terutamanya penyair baharu mampu menghasilkan sesebuah puisi yang lebih baik dan bermutu kerana mampu menjadikan bahasa puisinya tidak sekadar sarat dengan unsur dekoratif bahasa sebaliknya padat dengan unsur pemikiran yang terungkap dalam gaya bahasa yang berkesan. Hal ini menunjukkan bahawa penulis boleh mengaplikasikan sesebuah teori sewaktu berkarya dengan mengambil kira faktor inti dan bentuk karya yang ingin dihasilkan.

Intihanya, tidak semua penulis mampu menulis dengan baik tanpa menghakis nilai estetika dalam karya sekiranya mengikat kerangka kreativiti dengan teori mahupun konsep tertentu. Penulis wajar mengenal pasti hakikat sebenar tanggungjawab seorang penulis agar karya yang dihasilkan mampu diterjemahkan secara baik oleh masyarakat pembaca tanpa melahirkan sebarang unsur bosan atau paksaan. Hal ini kerana sifat kedua-dua unsur ini yang boleh menghilangkan rasa teruja pembaca terhadap kisah dan subteks yang tersembunyi dalam sebuah karya sastera yang baik. Oleh hal yang demikian, kejelasan antara peranan penulis dengan pengkritik perlu dihayati oleh para penulis baharu yang ingin berkecimpung dalam dunia kesusasteraan.

Nota : Esei ini telah tersiar dalam majalah Tunas Cipta, April 2010.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan