Selasa, 19 Julai 2011

SHAHNON AHMAD: SASTERAWAN MERENTAS ZAMAN

KEHADIRAN Sasterawan Negara Shahnon Ahmad sejak pertengahan 1960-an menerusi cerpennya Anjing-Anjing (1964) sesungguhnya telah membuka satu lagi ruang kepada perkembangan pesat kesusasteraan tanah air. Ketika itu, bahasa dan kesusasteraan Melayu masih berdepan dengan `kekuatan’ bahasa Inggeris yang diwarisi daripada kolonialisme sejak sekian lama. Sebagai pengarang, beliau mengambil peranan untuk meletakkan bahasa dan kesusasteraan Melayu pada tempat yang sewajarnya. Dari sisi lain, Shahnon menempatkan dirinya sebagai pengarang untuk mengukuhkan kedudukan karyanya agar mampu mengisi semangat zaman dan pandangan dunia (worldview) masyarakatnya yang sebahagian besar masih terumbang-ambing oleh kesan pascakolonial, kemiskinan, isu-isu pendidikan dan persoalan-persoalan politik.


Menghasilkan sebuah karya malar segar yang mampu menjadi wadah dan diterima oleh khalayak pada era itu bukanlah perkara mudah. Namun, Shahnon berjaya menekuninya dengan berjaya dan berkesan sehingga karyanya masih diteriman hingga ke hari ini. Walaupun dalam hakikat dunia kreatif, tidak semua karya mampu mengikat dan menarik hati generasi setiap zaman, sekali gus menjadi ikon kepada generasi dan sasterawan muda untuk mendekati dan tekal di atas landasan sastera negara, Shahnon berjaya melakukannya.

Lewat kebelakangan ini, terdapat polemik yang mengatakan pembaca atau penulis muda meminggirkan karya penulis mapan. Penulis muda dikatakan bersifat angkuh dan enggan menelaah inti karya yang dihasilkan penulis-penulis veteran seperti Shahnon. Walau bagaimanapun, perbicaraan yang hanya berlegar dalam kalangan pihak berkenaan adalah satu diskusi berat sebelah lantaran tidak mengambil kira sudut pandangan pembaca dan penulis muda sendiri.

Sewaktu politik negara berada dalam kekusutan sekitar tahun 1999, penulis sedang menuntut dalam tahun enam di sekolah rendah. Ketika itu, novel Shit amat popular hatta dalam kalangan bukan penggemar bahan bacaan. Namun demikian, populariti yang dimiliki Shit gagal membawa penulis untuk menelitinya dengan mendalam. Memegang fizikal novel itu sahaja membuatkan penulis berasa jijik dan loya.

Akan tetapi, segala rasa loya dan jijik yang penulis rasa ketika dalam tahun enam itu hilang serta-merta apabila penulis membacanya semula dan setelah mendalami karya-karya beliau seperti cerpen “Ibu dan Ceper” juga novel Ranjau Sepanjang Jalan (diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris oleh Adibah Amin dengan judul No Harvest But A Thorn). Kejelikan Sungai Ceper dan segala nanah yang bersarang di dalam busung Lahuma mula penulis fahami. Jalur-jalur pemikiran yang tersembunyi di sebalik kejelikan itu tampak indah dan semakin mengasyikkan. Setelah melalui takah-takah ‘perkenalan’ dengan Shahnon Ahmad lewat karya-karya beliau, penulis tidak boleh menyembunyikan keterujaan dan kegembiraan setiap kali membaca karya-karya pengarang besar ini.

Kebijaksanaan Shahnon Ahmad menghadirkan rasa loya penulis sebagai pembaca dengan variasi metafora dan unsur figuratif yang mantap mendorong penulis untuk mengkaji maksud tersirat yang disembunyikan lewat duri nibung, nanah, burung tiak dan ketam yang beribu dalam Ranjau Sepanjang Jalan. Begitu juga, kewujudan Negara Belantara dalam Patriarch yang tidak berpijak pada latar realistik secara langsung menarik deria analisis penulis untuk mendalami erti kewujudan watak seperti Partriarch, Wak Da, Mek Besah dan Jusuh Hitam. Hasilnya, penulis mendapati karya-karya beliau membuka ruang untuk penulis menjana pemikiran yang kritis. Karya-karya beliau memberi jalan kepada penulis untuk melihat dasar kehidupan, politik dan kebudayaan tempatan yang diterjemahkan dengan penuh simbolik.

Pendekatan seperti itu yang dapat ditemukan dalam karya-karya Shahnon memperlihatkan keghairahannya terhadap beberapa pengarang idolanya seperti Pramoedya Ananta Toer dan Patrick White. Karya-karya Pramoedya digemari kerana kekuatan ideologi serta bahasanya manakala Patrick White lantaran kemampuan beliau mengetengahkan warna setempat dalam karya-karyanya. Hasil tulisan sasterawan Shahnon Ahmad bersifat merentas zaman. Kekuatan sifat itulah yang menjadikan pembaca generasi baharu tidak berasa terpinggir untuk terus membaca, mendalami dan menganalisis karya-karya malar segar yang beliau hasilkan. Tema pilihan beliau iaitu agama, politik dan budaya menjadi tema sepanjang zaman yang memikat hati khalayak pelbagai generasi.

Dalam masa yang sama, keupayaan Shahnon Ahmad sebagai lidah masyarakat menjadi antara sebab utama karya-karya sasterawan mapan ini menarik minat meskipun daripada kalangan angkatan pembaca dan sasterawan muda. Kemampuan dan keupayaan Shahnon mengungkap permasalahan masyarakat terutamanya dari aspek politik dan kebudayaan Melayu sangat mengesankan. Anak kelahiran Banggul Derdap, Sik, Kedah ini mengadunkan pengalaman beliau sebagai anak desa yang melihat kepincangan sistem sosial dan pemerintahan dengan tautan perlambangan-perlambangan alamiah yang meyakinkan. Jelas sekali, Shahnon menampilkan dirinya sebagai pengarang dan masyarakat desa yang begitu cinta akan desa dan warga desanya sendiri melalui karya kreatif. Nilai kedesaan yang ada pada Shahnon sebagai pengarang Melayu ini adalah satu perkara penting yang jarang dapat dirasai dalam karya-karya terkini. Sasterawan ini memanfaatkan keintimannya dengan alam dalam novel seperti Patriarch dan cerpen “Ibu dan Ceper”. Meskipun penggunaan alam itu dialirkan secara realistik dan ada ketikanya begitu menjengkelkan, namun pembaca masih dapat meneroka aspek dalaman dan sindiran tersembunyi dalam karya berkenaan. Keupayaan ini adalah satu kekuatan yang dimiliki Sasterawan Negara Shahnon Ahmad.

Penulis muda ialah golongan penulis yang masih mentah dari segi usia pengkaryaannya. Banyak perkara yang perlu dipelajari dan banyak pengalaman yang perlu ditimba. Semua itu ialah proses untuk penulis muda memantapkan daya kreativiti dan mematangkan fikiran untuk menghasilkan karya-karya yang kukuh dan mampu bertahan lama. Sehubungan dengan itu, penulis muda sangat memerlukan cambahan pengalaman baik melalui pembacaan atau pengalaman sebenar. Bagi angkatan penulis muda yang dilahirkan pada era 1980-an, adalah sukar untuk angkatan ini memperoleh pengalaman-pengalaman menarik dan bernilai yang pernah dilalui barisan sasterawan mapan seperti pengalaman kedesaan dan latar sosial ketika itu.

Dari aspek inilah, pembaca yang sekali gus penulis muda sangat bergantung pada karya-karya penulis mapan untuk menambah pengalaman yang boleh dijadikan bahan dalam proses pengkaryaan. Namun demikian, tidak semua pengarang mapan mampu memberikan satu suasana dan pengalaman yang boleh diterima dan diimplementasikan penulis muda sebagai unsur intertekstualiti dalam proses kreatif yang dilakukan. Di sinilah jasa Shahnon Ahmad tidak dapat dipertikaikan kerana berjaya membantu penulis muda menambah perbendaharaan kata dengan pemusatan kata daerah yang begitu sinonim dalam karya-karyanya.

Terdapat persepsi segelintir khalayak menyifatkan tindakan Shahnon Ahmad yang selesa mengangkat bahasa kedaerahan lewat karya-karya beliau adalah satu usaha sia-sia dan hanya menimbulkan rasa bosan pembaca, terutamanya pembaca muda. Tindakan Shahnon itu juga dianggap mewujudkan tembok sekali gus menyekat tautan hubungan antara pembaca dengan karya. Sungguhpun begitu, Shahnon Ahmad sebenarnya telah memberi ruang dan peluang kepada pembaca khususnya penulis muda untuk menambah kosa kata dalam berkarya. Hakikatnya, adalah sukar untuk menemui penulis yang mengangkat warna setempat dan kata-kata daerah seperti yang digunakan oleh Shahnon Ahmad dalam karya-karya masa kini. Kebanggaan dan kebijaksanaan Shahnon mengangkat latar dan warna setempat bukan sahaja memberi manfaat kepada pembaca dan penulis muda, sebaliknya turut menyumbang dalam menjana fikiran khalayak untuk berfikir dan merenung ke dalam diri bangsa Melayu dan negara Malaysia itu untuk dijadikan iktibar dan teladan sepanjang zaman.

Keupayaan Shahnon Ahmad untuk tekal memasukkan unsur bahasa kedaerahan dan warna setempat dalam setiap karyanya itulah yang menjadikan karya-karya Shahnon Ahmad mampu merentas zaman. Perkara ini terbukti apabila kebanyakan karya penulis luar yang turut membawa warna setempat berjaya dan dikenali seantero dunia, seperti yang dilakukan oleh pengarang Colombia, Gabriel Garcia Marquez. Ketinggian nilai seni karya Shahnon Ahmad bukan sahaja terdapat pada bahasa daerah yang diterapkan. Akan tetapi, nilai keindahan itu turut tercitra melalui kemasukan sudut pandang masyarakat terpinggir seperti watak Wak Da dan Mek Besah dalam Patriarch. Shahnon menampilkan watak-watak masyarakat Melayu yang terpinggir atas dasar tanggungjawabnya sebagai pejuang nasib bangsa Melayu. Tindakan dan ketulusan Shahnon ini kurang menjelma dalam kebanyakan karya terkini terutamanya karya popular yang hanya mementingkan nilai komersial dan meminggirkan suara-suara masyarakat terpinggir dan melarat.

Karya-karya Shahnon Ahmad mampu berdiri sebagai satu bahan dokumentasi yang baik terutamanya dalam konteks kebudayaan dan alam pemikiran Melayu. Melalui perincian dan pemerian Shahnon Ahmad tentang selok-belok kehidupan masyarakat Melayu, pembaca dan penulis muda berpeluang menyimpan maklumat yang diberikan Shahnon Ahmad secara fiksi itu dalam sistem memori. Hal ini sangat bermanfaat kepada penulis muda apabila berdepan dengan situasi-situasi yang memerlukan penulis muda memanfaatkan ‘bahan dokumentasi’ Shahnon Ahmad dalam konteks interteks.

Penulis muda yang juga muda dari aspek usia dan kerangka pengkaryaan diberi kesempatan oleh Shahnon untuk memasuki alam kerohanian melalui citraan watak-watak yang dihasilkan. Dalam membentangkan isu animisme melalui novel Srengenge, Shahnon menampilkan watak Awang Cik Teh yang berusaha keras menghapuskan kepercayaan karut anak buah Srengenge dengan pelbagai kaedah. Srengenge membawa pembaca dan penulis muda melalui satu alam penuh misteri. Dalam hal ini, pembaca dan penulis muda berperanan sebagai pemerhati yang melihat segala dokumentasi dan rakaman Shahnon Ahmad terhadap amalan kepercayaan masyarakat Melayu dahulu. Pembaca dan penulis muda seolah-olah dibawa melawat satu petempatan dalam masa dahulu. Pembaca diberi peluang melihat kesadisan Imam Hamad membunuh Jalak. Pembaca dan penulis muda juga beroleh pengalaman ‘melihat’ upacara ‘menjamu’ Srengenge dan mengubati Imam Hamad yang diketuai Useng dengan jelas sebagai imejan kebudayaan masyarakat tempatan pada masa itu :

Useng sempat menggamit ke arah Srengenge.
“Siapa nenek engkau?” soal Useng lagi.
Sepi menangkup suasana.
“Siapa emak engkau?”
Imam Hamad disebat dengan ranting mengkudu yang sudah tak berdaun.
Imam Hamad terkejang-kejang. Lututnya kedua-dua belah melonjak naik sekejap dan kemudian jatuh. Jari-jari kaki terketar-ketar. Tangan membedal-bedal. Tapi Imam Hamad tak juga membuka mulut memberi tahu siapa nenek, siapa bapa, siapa emak. (Srengenge, 1973)

Keunggulan karya-karya Shahnon Ahmad dalam merentas zaman berjaya menarik perhatian pembaca dan penulis muda apabila Shahnon tekal menjadi dirinya sendiri. Dalam hal ini, Shahnon senang menjadikan karya beliau sebagai medium pemberontakan dirinya selaku rakyat. Melalui pengalaman demi pengalaman dan rasa tidak puas hati terhadap sesetengah sistem pemerintahan yang dilihat menindas kaum Melayu terutamanya golongan petani, Shahnon menjadi suara masyarakat yang diterjemahkan dalam bentuk cereka. Sungguhpun segala pemberontakan dan rasa tidak puas hati Shahnon ditempiaskan dalam bentuk fiksyen, pembaca dan penulis muda masih mampu menanggapi isu-isu tersirat yang ditampilkan Shahnon Ahmad.


Dalam konteks ini, Shahnon menyediakan karyanya sebagai sebuah wacana untuk pembaca dan penulis muda berfikir serta menganalisis karya secara mendalam. Keupayaan Shahnon membentuk ruang lingkup wacana secara fiksi ini adalah keistimewaan yang jarang dimiliki oleh penulis lain, apatah lagi penulis muda. Perkara ini secara tidak langsung menjadi alat untuk pembaca dan penulis muda berfikir secara kritis untuk menghasilkan karya yang mampu menggerakkan sistem analisis pembaca lain agar aktif.

Permulaan karya Shahnon Ahmad berbicara tentang hubungan manusia dengan alam. Dalam konteks ini, alam kelihatan sangat menyulitkan hidup manusia seperti yang dilalui oleh keluarga Lahuma dalam Ranjau Sepanjang Jalan. Pertembungan Jeha dengan ketam, burung tiak dan tedung tampak begitu menyesakkan hidup. Namun demikian, pembaca dibawa Shahnon secara perlahan untuk menelusuri kerakusan manusia mengejar keuntungan dan pembangunan tanpa memikirkan aspek ekosistem alam itulah yang memunculkan pertembungan antara manusia dengan alam itu sendiri. Pengulangan cerita yang menimpa Lahuma, Jeha dan Sanah bergerak atas landasan falsafah “Mati hidup dan susah senang dipegang oleh Tuhan, dipegang oleh Allah Azzawajalla”. Falsafah yang diketengahkan Shahnon dalam Ranjau Sepanjang Jalan ini memberi pengalaman kerohanian kepada pembaca untuk berfikir di luar kotak. Ranjau Sepanjang Jalan dengan segala pengulangan yang dilakukan Shahnon sebenarnya mendidik pembaca agar tahu betapa hidup itu begitu menuntut kesungguhan, kesediaan dan kegigihan.

Tidak dapat dinafikan, Shahnon Ahmad juga seorang sasterawan yang sangat kuat perhatiannya terhadap persekitaran politik semasa. Shahnon sendiri pernah menjadi Ahli Parlimen Sik untuk satu penggal. Penyertaan Shahnon dalam dunia politik bukanlah permulaan sebagai wakil masyarakat Melayu. Sebaliknya menjadi kesinambungan dan jalan perjuangan Shahnon menyuarakan kesusahan dan kemelaratan yang dilalui orang Melayu lewat karya-karyanya seperti Rentong, Perdana, Menteri, Seluang Menodak Baung dan Patriarch.

Karya-karya berkenaan lahir sebagai suara Shahnon Ahmad yang marah, resah dan gelisah terhadap nasib yang melanda orang Melayu di tangan pemerintah Melayu itu sendiri. Kebobrokan rasuah terpancar dalam watak Patriarch yang sanggup menodai kepercayaan rakyat terhadapnya. Resah gelisah Menteri Bahadur melihat amalan birokrasi dan korupsi berleluasa dalam pemerintahan yang dianggotainya adalah teguran-teguran sinis Shahnon terhadap pemimpin yang ‘memegang’ nasib bangsa Melayu.

Menariknya juga, Shahnon sering kali menampilkan watak-watak yang unik dan sukar untuk ditemui dalam kebanyakan karya terkini. Umpamanya, watak Jusuh Hitam yang digandingkan dengan Adi Tumpang sebagai penggiat seni yang berjuang menyedarkan masyarakat akan kezaliman pemerintahan Patriarch dalam novel Patriarch. Kedua-dua watak berkenaan dicipta Shahnon sebagai penggerak sebuah drama pentas dengan naratifnya mengenai Patriarch yang zalim dan wajar dibunuh demi kebaikan masyarakat Negara Belantara. Diam-diam, Shahnon menyampaikan gagasan beliau akan kepentingan sastera dan seni sebagai alat untuk menyedarkan rakyat dan menegur khalayak pemimpin yang zalim dalam pemerintahannya :

“... Apa tujuan seni drama kalau tidak cuba mengubahkan manusia dan kemanusiaan daripada yang buruk kepada yang baik, daripada yang baik kepada yang lebih baik, daripada yang kejam lagi zalim kepada yang adil, daripada yang kuku besi kepada yang demokratik. Kita di sini mempunyai tugas yang maha besar iaitu untuk menghasilkan sebuah kisah cereka dalam bentuk drama bagi menyedarkan rakyat dan para pemimpin kita bahawa bangsa kita dengan tradisi yang teguh dan agama yang maha besar memang menolak kepalsuan, sebarang kezaliman, sebarang penyelewengan, sebarang korupsi dan sebarang usaha untuk mengumpulkan harta benda untuk diri sendiri.” (Patriarch, 1991:81)


Kesungguhan Shahnon dalam melebarkan gagasan antipolitik zalim yang menyusahkan rakyat bawahan terpancar juga menerusi cerpen beliau yang berjudul “Permaisuri”. Cerpen itu mengisahkan seorang permaisuri raja yang tinggal di dalam istana tanpa pernah mengetahui pandangan rakyat terhadap dia dan raja secara telus. Karya ini diinspirasikan daripada cerita berjudul Monteil’s Widow dan Big Mama’s Funeral yang dikarang oleh Marquez. Karya Monteil’s Widow menceritakan kepemimpinan kejam seorang pemerintah di sebuah negara merdeka Amerika Latin.


Pada akhirnya, pemerintah kuku besi tersebut dimatikan wataknya dengan penyakit tua yang menjadikan rakyat meraikan kematian tersebut dengan kegembiraan dan kesyukuran. Keberanian Shahnon bersuara secara jujur dengan mengupas isu-isu seperti ini memberi ilham dan perangsang kepada penulis muda untuk berkarya dengan saksama dan memahami hakikat peranan seorang penulis berwadahkan karya kreatif dalam membela nasib masyarakat :


“Kami ini nelayan, hidup selama ini dengan laut. Kalau dilemparkan ke darat, macam ikan terbuang ke petak perahu sajalah ... Kuala Indah Permai itu dah berzaman hak milik kami. Tiba-tiba begitu mudah suruh pindah. Kalau diberi rumah setinggi bangunan ini pun anak buah Kuala Permai tak akan berganjak.” (Kemelut, 1977:146)

Sifat Shahnon Ahmad yang sering mewacanakan sesuatu dalam karyanya turut menjadikan pembaca dan penulis tidak berasa didesak mahupun dipaksa untuk menerima lapisan-lapisan tersirat karya. Membaca karya-karya pengarang mapan ini membuatkan pembaca terpanggil sendiri untuk mengupas dan melihat maksud di sebalik paparan yang disediakan. Shahnon membuka ruang wacana tanpa beliau sendiri mengangkat dirinya sebagai ahli dalam wacana kreatif berkenaan. Dalam novel Tivi, Shahnon mengutarakan masalah pertembungan budaya desa dengan kemajuan teknologi (televisyen) yang menimbulkan kebejatan sosial sekiranya tidak diawasi dan dimanfaatkan dengan betul.


Pada pembacaan pertama Tivi, pembaca akan berasa terkedu dengan pengisahan sebuah keluarga yang pada awalnya begitu berpegang kuat dengan ajaran Islam boleh terjebak dalam kancah dosa hanya kerana sebuah televisyen. Walau bagaimanapun, Shahnon sebenarnya menjadikan televisyen sebagai alat yang menggerakkan wacana tentang keruntuhan nilai moral dan kerapuhan daya saringan masyarakat Melayu terhadap anasir-anasir yang dibawa kemajuan.


Novel Tivi membicarakan elemen Islamik yang begitu kuat. Namun demikian, Shahnon tidak mengolahnya sehingga kelihatan seperti sebuah karya sarat hukum agama. Beliau tidak mengambil peranan sebagai seorang ulama yang menghuraikan antara yang hak dan yang batil. Sebaliknya, Shahnon menghidangkan sebuah wacana agama dalam landas yang dipilihnya sebagai unsur retorik untuk pembaca aktif menganalisis dan melihat maksud di sebalik Tivi. Keupayaan dan kebolehan Shahnon menghasilkan karya tanpa membuatkan pembaca berasa terpaksa membaca dan menerima adalah satu hal yang jarang ditemui dalam karya-karya kini.

Kewujudan dan sumbangan Shahnon Ahmad dalam dunia sastera negara akan kekal menjadi perbicaraan penting sepanjang zaman. Beliau menjadi teladan kepada pembaca terutamanya penulis muda untuk bangkit menjadi lebih kreatif, yakin dengan apa-apa yang ditulis dan mampu menjadi pembela agama, bangsa dan negara melalui wacana sastera perdana. Mohd Yusof Hasan dalam kritikannya mengenai novel Srengenge dengan esei “Srengenge: Simbolisme Konflik Nilai” menyebut bahawa novel Srengenge tidak dapat dinikmati oleh individu yang tidak mempunyai nilai kekampungan. Walau bagaimanapun, penulis sebagai individu dan pembaca muda yang tidak lahir dalam suasana kedesaan tetap berasa gembira dan mampu menikmati karya besar itu secara menyeluruh.

Kesungguhan dan nilai sensitiviti yang tinggi terhadap kehidupan dan persekitarannya menjadikan Shahnon Ahmad memenangi kategori cerpen dengan judul “Kepikunan” dan menerima anugerah Mastera 2010. Shahnon Ahmad menyuntik semangat penulis muda untuk kenal kewajipan yang dipikul sebagai penulis berhemah dan bertanggungjawab dengan pendekatan sastera kerana Allah. Lantaran itu, Shahnon Ahmad ibarat permata di tengah sahara dan hanya jauhari yang mengenal manikam.


Nota : Esei ini telah disiarkan dalam Dewan Sastera, Februari 2011

Tiada ulasan:

Catat Ulasan