SETIAP kali anda keluar pagi mencari rezeki bagai burung riang meneruskan hidup aturan Ilahi, bersyukurlah. Anda masih diberi nikmat menjadi insan berakal yang tahu kesenangan tidak datang bergolek. Setiap kali anda pulang petang dengan penat yang panjang tetapi dalam aman dan selamat, dapat lagi menatap wajah-wajah kesayangan di gapura rumah yang sentiasa berkorban untuk kebahagiaan anda, maka bersyukurlah. Anda masih dianugerahi nikmat bahagia yg tidak semua manusia mendapatnya.
Kata-kata ini bergema dalam benak saya saban kali saya melihat wajah emak saya sebaik-baik sahaja saya membuka pintu rumah, melihat wajah emak. Kadang-kadang, timbul rasa bersalah di dalam diri saya. Kehidupan dan tanggungjawab menuntut saya keluar pagi dan pulang petang. Walaupun masih ada masa-masa senggang, saya tetap berasa berkira-kira untuk meninggalkan emak saya sendiri di rumah. Oh, bukan saya 'anak emak'. Akan tetapi keadaan emak yang selalu merosot kesihatannya itu yang sering membuatkan saya berasa berat untuk lama meninggalkannya. Apatah lagi, sebagai satu-satunya anak perempuan, pasti di sisa-sisa usia ini emak lebih memerlukan saya untuk memerhatikannya.
Saya sentiasa berasa gembira setiap kali membuka gapura dan melihat wajah bonda yang di hatinya penuh cinta. Tiada dendam, yang ada hanya kasih tulus. Kadang-kadang, saya melihat emak khusyuk di dalam telekung sebaik sahaja saya membuka pintu. Emak berteleku di atas sejadah sambil membaca kalam Allah. Ada masa juga, saya melihat emak menadah tangan, panjang, tenggelam di dalam doanya. Pada waktu tertentu, saya membuka pintu rumah dan emak tiada. Emak ke rumah jiran, bersembang dengan jiran yang tahu akan tanggungjawab dan baik budinya. Saya bersyukur, sekurang-kurangnya emak ada teman untuk diajak berbual kala anak ini tiada di rumah menjadi temannya, seperti emak yang sentiasa menjadi teman saya semasa kecil dahulu.
Alangkah sakitnya hati mengenangkan betapa emak tidak pernah meninggalkan saya seharian suntuk semasa saya kecil, sedang saya yang kini meningkat usia perlu meninggalkan emak. Keluar usai Subuh. Kembali menjelang Maghrib. Berapakah masa yang saya ada untuk emak?Tidak banyak. Meskipun hanya seharian, namun bagi seorang tua yang lanjut usia, masa itu terasa begitu panjang. Saya pasti, begitulah emak rasa.
Oleh sebab itu, kata-kata awal entri ini menjelma selalu di dalam benak saya. Dengan bismillah, kita keluar rumah. Pasakkan niat mencari rezeki halal atas reda Allah. Tunjangkan keinginan untuk membahagiakan orang yang kita sayang, berhati-hatilah mengendong nyawa yang kita ada. Keluar kita meninggalkan wajah kesayangan, tanamlah ghairah untuk segera pulang ke rumah. Melihat wajah yang pernah derita kerana kita. Merenung tulus wajah insan yang selalu berkorban demi kebahagiaan kita. Bersyukurlah selalu walau tidak semua yang kita pinta Allah beri kerana Allah Maha Mengetahui, mana yang perlu dan wajar kita miliki.
Bersyukurlah, andai anda keluar pagi dan pulang petang, dalam keadaan aman dan tenteram dapat kembali melihat insan kesayangan yang pengorbanannya untuk kebahagiaan anda bukan kepalang.
0 comments:
Catat Ulasan
Wardah sangat menghargai ulasan yang diberikan anda yang disampaikan dalam bentuk berhikmah. Terima kasih diucapkan. Salam hormat.