AHLAN WA SAHLAN RAMADAN KARIM. Nampaknya agak terlambat ucapan itu saya sampaikan melalui ruang maya ini. Alhamdulillah, hari ini sudah sembilan Ramadan dan sudah malam ke-10 Ramadan. Saya sentiasa berharapkan Ramadan yang dilalui akan sentiasa lebih baik tahun demi tahun. Hatta selagi nyawa dikandung badan, biarlah ada perubahan positif untuk setiap takah Ramadan yang dilalui.
Alhamdulillah, Ramadan kali ini memberi erti yang mendalam buat diri saya. Sebelum ini, saya pernah menjadi penerima zakat fitrah selama beberapa tahun. Namun demikian, saya bersyukur amat atas rezeki yang Allah berikan. Tahun ini ialah Ramadan pertama saya membayar zakat fitrah. Sudah menjadi amalan saya untuk mengenang sesuatu perubahan atau detik-detik penting yang saya lakukan khususnya untuk kali pertama.
Isnin lalu, cuaca terik amat. Saya berada di perhentian bas Sogo pada jam 4:20 petang. Hampir 10 minit saya duduk di tangga di luar pusat membeli-belah itu. Di belakang saya adalah seorang wanita dengan anak lelakinya. Saya anggarkan anak lelaki itu berusia dalam lingkungan tujuh tahun. Anak lelaki itu raghib membaca buku cerita kanak-kanak. Saya mendengar sambil sungging senyum. Indah rasanya hati apabila melihat tabiat membaca diamalkan oleh kanak-kanak seusia itu. Wanita yang mungkin ibu kepada anak itu pula tekun menjawab setiap soalan anak kecil itu. Ada masa, ibu itu yang akan bertanya akan pengajaran dalam cerita yang dibaca anaknya.
Tekun saya mendengar cerita anak kecil dan buku ceritanya itu, saya segera membuka bekas duit. Sudah menjadi kebiasaan, saya tidak gemar menggunakan dompet untuk menyimpan duit. Uncang berisi duit saya buka. Oh, saya terlupa untuk menukar not hijau. Saya agak gusar dan memandang ke sekeliling. Tiada tempat yang sesuai untuk saya lakukan pertukaran wang. Akhirnya, dengan sedikit silu saya bangkit dari duduk dan mendekati wanita tadi. Kepadanya saya mohon andai ada wang untuk ditukarkan dengan not hijau yang ada dalam genggaman saya. Alhamdulillah, wanita itu mudah orangnya. Tidak seperti sesetengah orang yang akan menjauh atau enggan memberi pertolongan sebegitu. Barangkali kerana waspada, dalam sesetengah situasi, saya juga tidak akan menerima ucap bicara orang yang asing kepada saya. Jauh di sudut hati, saya amat berterima kasih kepada wanita itu.
Pusat beli-belah Sogo juga lebih sibuk berbanding hari biasa. Kebiasannya, perhentian bas itu tidak akan sesak seawal jam empat petang. Nampaknya Ramadan membuatkan manusia lebih 'sibulk'. Saya duduk di depan dua orang lelaki India. Mereka sangat bising. Kadang-kadang seperti mencari perhatian. Saya sangka mereka akan turun di mana-mana perhentian, rupa-rupanya mereka turun di tempat yang sama saya turun iaitu di stesen akhir Taman Jasa. Ah, pengalaman duduk di depan mereka sangat menyakitkan!
Jam 6:30 saya tiba di perhentian bas. Saya perlu berjalan kaki selama 20 minit untuk tiba di kawasan perumahan saya. Dalam pada itu memang saya tidak sangka akan ada amil di celah Bazaar Ramadan. Seorang guru saya berpesan, carilah amil di hadapan Sogo kerana kebiasaannya ada amil di situ sepanjang Ramadan akan tetapi tiada pula sejak hari pertama Ramadan. Oleh itu, saya segera mendekati amil itu. Dua orang lelaki yang nampaknya hanya berbual dengan amil itu mengundur diri dan memberi ruang untuk saya duduk.
Amil bertanya akan jumlah yang mahu saya bayar. Untuk siapa? Tentulah untuk diri saya semata-mata. Saya diminta melafazkan niat yang tertera pada nota kecil di situ. Ada debar di hati saya kala melafazkan niat itu. Terasa bagai satu fasa menjengah lagi hidup saya. Saya, bertanggungjawab atas diri saya sendiri. Alhamdulillah, saya bersyukur atas kemampuan itu.
Sebaik sahaja saya meninggalkan amil berserban dan janggut panjang itu, ada bunyi dentuman agak kuat. Seorang remaja perempuan kemalangan. Motorsikal yang ditunggang terbabas dan dia terdampar di tengah jalan. Saya melalui remaja itu. Ramai juga orang yang mengerumuni remaja itu. Remaja itu nampak terkejut. Kedua-dua tangannya menutup kelopak mata. Seorang lelaki mengutip selipar remaja yang tidak bertopi keledar itu. Dua lelaki India yang membingitkan deria dengar saya tadi membantu mengangkat motor Honda EX5 remaja perempuan itu ke bahu jalan.
Demikian, sebuah cerita, pengalaman baharu, insiden yang saya lihat dalam satu hari yang telah berlalu.
0 comments:
Catat Ulasan
Wardah sangat menghargai ulasan yang diberikan anda yang disampaikan dalam bentuk berhikmah. Terima kasih diucapkan. Salam hormat.