Khamis, 29 November 2012

CERITA BINATANG DALAM PADA ZAMAN DAHULU

SUDAH lama sebenarnya saya ingin menulis mengenai siri animasi Pada Zaman Dahulu terbitan Les' Copaque. Siri animasi ini saya tonton di saluran TV Alhijrah dua bulan yang lalu. Itulah kali pertama saya menonton siri animasi yang menarik ini. Sesungguhnya saya tidak mempunyai minat yang tinggi terhadap kartun. Tidak banyak siri kartun yang saya ikuti. Walau bagaimanapun, pada petang Rabu itu, saya telah menekan punat TV Alhijrah dan siaran animasi ini sedang berlangsung.


Siri animasi Pada Zaman Dahulu ini mengingatkan saya pada cerita-cerita binatang terbitan FINAS ketika saya masih kecil. Pada sekitar usia tujuh hingga sembilan tahun. Cerita rakyat genre binatang sepert sang kancil dengan kerbau, sang kancil dengan tali pinggang Nabi Sulaiman dan pelbagai lagi. Barangkali sesuai dengan zaman saya ketika itu, konsep siri kartun tersebut boleh diterima. Akan tetapi, jika konsep yang sama digunakan untuk tatapan anak-anak generasi sekarang, sudah tentu matlamat didaktisme menerusi siri kartun cerita rakyat seperti itu gagal. Kenapa? Konsep yang digunakan FINAS ketika saya masih kecil sudah jauh ketinggalan dengan latar zaman dan kecenderungan anak-anak kini.

Keunikan dan keistimewaan siri animasi Pada Zaman Dahulu ini terletak pada konsep cerita berbingkai dan teknologi animasi yang digunakan oleh Les' Copaque. Seperti siri animasi Upin dan Ipin yang mencetuskan fenomena dalam industri animasi negara, siri Pada Zaman Dahulu juga mengambil latar budaya masyarakat Melayu di desa. Jika Upin dan Ipin dengan watak Opah, Kak Ros, Ehsan, Mei Mei dan lain-lain, watak dalam animasi Pada Zaman Dahulu pula terdiri daripada watak Tok Abah dan keluarga merangkumi seorang cucu lelaki, seorang cucu perempuan berserta ibu bapanya. Saya tidak ingat nama-nama watak itu kerana baru sekali menonton animasi ini. Akan tetapi, benar-benar telah menarik perhatian saya untuk menjejaki siri-siri ini di Youtube.

Plot bermula dengan cucu lelaki dan cucu perempuan menghadapi satu situasi kemudian Tok Abah akan memberi nasihat berdasarkan cerita dengan dialog "Pada zaman dahulu ..." yang akan dissolve to pada zaman dahulu dengan kemunculan watak-watak binatang memonopoli cerita. Dalam siri yang saya tonton itu, kisah sang kancil dengan buaya. Sang Kancil ingin menyelamatkan diri daripada harimau dengan helah tali pinggang Nabi Sulaiman milik sang ular yang ingin membaham Sang Kancil. Ada juga watak pendeta tupai di dalam animasi ini.

Sang Kancil

Pendeta Tupai yang membantu Sang Kancil

Sang Kancil sedar dia ditipu Sang Ular mengenai anak burung


Sang Harimau dibelit 'tali pinggang Nabi Sulaiman'
Siri animasi terbitan Les' Copaque ini adalah satu usaha murni dalam melestarikan cerita rakyat khususnya cerita binatang kepada kanak-kanak yang bersesuaian dengan zaman.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan